oleh : Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan ALLAH iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud). - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Shiyam, hadis no: 1163.
Namun begitu hanya segelintir sahaja daripada umat Islam pada masa kini yang benar-benar memperhatikan ibadah solat Tahajjud ini. Kebanyakkan umat Islam yang lain lebih memilih untuk lena diulik mimpi di atas ranjang masing-masing. Melalui risalah ini penulis ingin menarik perhatian para pembaca tentang tatacara perlaksanaan solat Tahajjud serta keutamaanya di sisi syarak agar dapat dijadikan sumber motivasi kepada kita semua terutamanya penulis sendiri untuk mengerjakan solat Tahajjud.
PENGERTIAN SOLAT TAHAJJUD
Menurut Dr. Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani:
Makna solat dari ALLAH adalah Rahmat, sedangkan makna solat dari seseorang adalah doa dan istighfar. Manakala dalam istilah syar'i solat bererti, ...rukun-rukun yang dikhususkan dan zikir yang telah dimaklumi dengan syarat-syarat yang dibatasi dengan waktu-waktu tertentu, atau perkataan dan perbuatan yang diawali dengan takbiratul ihram dan ditutup dengan salam disertai dengan niat. – Rujuk buku Dr. Shalih bin Ghanim bin Abdillah al-Sadlani , Shalat Jama'ah : Panduan Hukum, Adab, Hikmah, Sunnah dan Peringatan Penting Tentang Tentang Perlaksanaan Shalat Berjema'ah, Pustaka Arafah, Solo 2002, ms. 17.
Tahajjud terbentuk dari kata dasar hajjada yang bererti tidur dan tahajjada bererti berjaga. Maka kata tahajjadtu bermaksud saya telah membuang jauh perasaan ingin tidur dari diri saya.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani r.h:
Imam al-Thabari berkata: "Tahajjud adalah berjaga setelah tidur terlebih dahulu."…
Ibnu Faris berkata: "Al-Mutahajjid bermaksud orang yang solat di malam hari."
Sedangkan al-Kurra' menyatakan: "Tahajjud adalah solat malam secara khusus."
– Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 203.
Oleh itu solat Tahajjud adalah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam iaitu setelah mengerjakan solat Isyak dan sebelum masuk waktu solat Subuh. Namun begitu waktu yang paling utama untuk dilaksanakan solat Tahajjud itu adalah sepertiga malam yang terakhir (Iaitu dari pukul 3.00 pagi sehingga masuk waktu subuh). Solat sunat Tahajjud ini kebiasaannya di gandingkan dengan solat sunat witir sebagai penutupnya.
Dalil disyariatkan solat Tahajjud ini adalah sebagaimana Firman ALLAH S.W.T.:
Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "solat Tahajjud" padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga TUHANmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. - al-Israa' (17) : 79
Di dalam kitab al-Majaz oleh Abu Ubaidah disebutkan:
"Firman-NYA "kerjakanlah solat Tahajjud padanya" bermaksud berjagalah pada malam hari untuk melakukan solat."
– Rujuk kitab al-Hafidz Ibnu Hajar al-'Asqalani, Fathul Baari, jilid 6, ms. 202.
Dalil solat Tahajjud lebih utama dilakukan pada sepertiga malam terakhir bersandar kepada sabda Rasulullah s.a.w.:
RABB kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. ALLAH berfirman: "Siapa yang berdoa kepada-KU, nescaya AKU akan mengabulkannya; siapa yang meminta kepada-KU, nescaya AKU akan memberinya; siapa yang memohon ampun kepada-KU, nescaya AKU akan mengampunnya." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1145.
Ternyata ibadah yang di dalamnya terdapat doa-doa, permintaan-permintaan dan permohonan ampun adalah solat. Maka selayaknya solat yang paling utama setelah solat fardhu ini dilaksanakan pada sepertiga malam yang akhir.
JUMLAH RAKAAT SOLAT TAHAJJUD
Secara umumnya solat Tahajjud ini boleh dilakukan dengan dua rakaat- dua rakaat dan ianya tidak mempunyai batasan jumlah rakaat yang maksimum. Malah ianya juga boleh dilaksanakan dengan hanya satu rakaat solat sunat witir.
Dari `Abdullah bin Umar r.a, dia berkata:
Sesungguhnya seorang lelaki berkata: "Wahai Rasulullah, bagaimanakah solat malam?" Baginda bersabda: "Dua-dua (rakaat), apabila engkau khuatir (masuk waktu subuh), maka laksanakan solat witir satu rakaat." - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1137.
Namun begitu jumlah rakaat yang paling utama adalah dengan tidak melebihkannya dari sebelas atau tiga belas rakaat kerana jumlah ini adalah sesuai dengan sebagaimana yang kebiasaannya dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w.
Dari `Aishah r.a, dia berkata:
Bahawa Rasulullah solat malam di waktu setelah selesai Isyak sampai terbit fajar sebanyak sebelas rakaat dengan salam setiap selesai dua rakaat, lalu berwitir dengan satu rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab Shalatu al-Musafirni wa Qasruha, hadis no: 736.
Dari `Aishah r.a, dia berkata:
Nabi s.a.w. biasa solat di malam hari tiga belas rakaat termasuk witir, dan dua rakaat solat fajar (sunat Qabliyah Subuh). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1140.
Abu Salamah r.a pernah bertanya kepada `Aishah r.a tentang solat malam Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadan. Maka `Aishah menjawab:
Rasulullah s.a.w. tidak menambah di bulan Ramadan dan tidak pula di bulan-bulan lainnya, melebihi sebelas rakaat; baginda solat empat rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda solat empat rakaat, jangan tanya akan kebagusan dan panjangnya. Kemudian baginda shalat tiga rakaat (witir). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1147.
Hadis di atas ini menunjukkan bahawa solat Tahajjud ini juga boleh dikerjakan secara empat rakaat-empat rakaat. Ianya boleh dikerjakan sebagaimana tatacara solat fardhu yang empat rakaat iaitu dengan dua tahiyat serta satu salam dan boleh juga dikerjakan sebanyak empat rakaat sekaligus dengan hanya satu tahiyat serta satu salam sahaja. Sekiranya ingin di laksanakan dengan hanya satu tahiyat maka setiap rakaat hendaklah dibaca surah-surah atau ayat-ayat dari al-Qur'an sesudah membaca al-Fatihah.
KESUNGGUHAN RASULULLAH SAW DALAM MELAKSANAKAN SOLAT TAHAJJUD
Rasulullah s.a.w. adalah seorang insan yang telah dijamin oleh ALLAH S.W.T. akan masuk ke syurga. Baginda s.a.w. juga merupakan sebaik-baik manusia malah digelar Sayyid al-Mursalin iaitu penghulu segala Rasul. Baginda merupakan seorang insan yang maksum dan bebas dari sebarang bentuk dosa. Walaupun dengan kedudukan baginda s.a.w. yang sebegini sempurna tetapi baginda tetap bersungguh-sungguh dalam mengerjakan solat Tahajjud sehingga bengkak-bengkak kakinya. Isterinya `Aishah r.a melihat sendiri kesungguhan luar biasa baginda ini dan beliau hairan kenapa Rasulullah s.a.w. masih ingin bersusah payah melakukan ibadah tersebut sedangkan dia adalah seorang yang maksum. Kisah ini telah disampaikan oleh `Aishah r.a sendiri di dalam sebuah hadis:
Sungguh Nabi s.a.w. solat malam hingga kedua tapak kakinya merekah. `Aishah berkata kepada baginda: “Mengapa engkau melakukan hal ini wahai Rasulullah, padahal ALLAH telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang akan datang.” Baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang sangat bersyukur?” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab Tafsir al-Qur’an, hadis no: 4837.
Peristiwa yang sama juga telah dikhabarkan dari al-Mughirah r.a, dia berkata:
Sesungguhnya Nabi s.a.w. biasa berdiri (untuk solat malam) hingga kedua kakinya atau kedua betisnya bengkak. Dikatakan kepadanya maka baginda bersabda: “Apakah aku tidak ingin menjadi hamba yang bersyukur?” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab at-Tahajjud, hadis no: 1130.
Sekarang kita bandingkan amalan Rasulullah s.a.w. ini dengan diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa dan untung nasib kita di Hari Pengadilan juga belum dipastikan samada syurga atau neraka. Kenapa kita tidak mahu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan solat Tahajjud ini? Adakah kita menganggap diri kita sebanding atau lebih baik daripada Rasulullah s.a.w.?
Renungilah akan hal ini dengan mendalam wahai pembaca yang budiman.
KEUTAMAAN SOLAT TAHAJJUD
ALLAH S.W.T. mengurniakan pelbagai keutamaan yang besar bagi mereka yang melaksanakan solat Tahajjud ini sebagaimana yang akan penulis paparkan di sini.
Mereka yang mengerjakan ibadah pada malam hari akan dikurniakan kedudukan yang terpuji lagi mulia di sisi ALLAH S.W.T. di hari akhirat kelak yakni dengan menjadi ahlul jannah (ahli syurga).
Ini sebagaimana Firman-Nya:
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga TUHANmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”. - al-Israa’ (17) : 79
“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh TUHAN mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada ALLAH (memohon ampun)”. - al-Dzaariyaat (51) : 15-18
Di dalam syurga juga terdapat bilik yang khusus bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sungguh di dalam syurga terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya terlihat dari dalam. Kami bertanya: “Untuk siapa (kamar-kamar itu) Ya Rasulullah.” Sabda baginda: “Kamar-kamar itu ALLAH sediakan untuk orang yang memberi makan, melembutkan perkataan, mengiringi puasa ramadan, menebarkan salam, dan asyik solat malam di saat manusia lain terlelap tidur.” - Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi di dalam Sunan Tirmidzi, Kitab al-Bir wa al-Shalah, hadis no: 1907.
Mendirikan solat Tahajjud dapat membentuk keperibadian mulia seperti tawadhu’ (merendah diri), bertaqwa, menghindari sikap sombong dan pemurah dengan sedekah jariah.
“Dan hamba-hamba (ALLAH) al-Rahman (yang diredhai-NYA) , ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini; dan mereka (yang diredhai ALLAH itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat kepada TUHAN mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri”. - al-Furqaan (25) : 63-64
“Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji TUHAN mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan solat Tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada TUHAN mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-NYA) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredhaan-NYA) ; dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang KAMI beri kepada mereka. Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan”. - al-Sajda (32) : 15-17
Darjat mereka yang mengerjakan solat Tahajjud ini adalah lebih tinggi dari mereka yang tidak mengerjakannya di sisi ALLAH S.W.T.
“Adakah orang yang berbakti kepada ALLAH pada waktu malam, bersujud serta berdiri dan takut pada siksa hari akhirat dan mengharap rahmat TUHANnya itu akan sama dengan orang yang tidak sedemikian. “Katakanlah lagi (kepadanya): “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna”. - al-Zumar (39) : 9
Solat Tahajjud dapat mendekatkan diri kita kepada ALLAH S.W.T., menutup kesalahan kita yang lalu serta menghapuskan dosa-dosa kita.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Hendaklah kalian melaksanakan solat malam kerana solat malam itu merupakan kebiasaan orang-orang sholeh sebelum kalian, ibadah yang mendekatkan diri kepada TUHAN kalian, serta penutup kesalahan dan penghapus dosa”. - Hadis riwayat Imam al-Tirimidzi di dalam Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Da’waat, hadis no: 3472.
Demikianlah beberapa keutamaan yang dapat diperolehi bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud. Jelaslah bagi kita bahawa bagi mereka yang mengerjakan solat Tahajjud, mereka akan mendapat limpah kurnia dari ALLAH S.W.T. yang tidak ada tolok bandingnya sedangkan bagi mereka yang meninggalkan ibadah yang mulia ini, mereka mengalami kerugian yang amat besar.
KESIMPULAN
Berikut adalah alasan yang sering diberikan oleh mereka yang tidak mahu mengerjakan solat Tahajjud serta jawapan penulis untuk mereka:
Ibadah ini hanya sunat sahaja.
Memang benar solat Tahajjud ini hanyalah solat sunat tetapi ianya adalah solat sunat mu’akkad (yang di tuntut). Sekiranya junjungan besar kita Rasulullah s.a.w. begitu bersungguh-sungguh memastikan ibadah ini dilaksanakan sehingga bengkak-bengkak kakinya kenapa kamu masih berat hati untuk melakukannya. Apatah lagi solat Tahajjud ini merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.
Kami terlalu mengantuk untuk mengerjakannya.
Dalam hal ini kami menganjurkan bagi mereka yang sukar untuk bangun dari tidur untuk mengerjakan solat Tahajjud supaya tidur lebih awal iaitu setelah mengerjakan solat Isyak. Hal ini telah sabit dari baginda s.a.w. sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Barzah r.a:
“Bahawa Rasulullah s.a.w. tidak suka tidur sebelum Isyak dan berbincang-bincang setelah solat Isyak”. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, kitab Mawaqit al-Shalah, hadis no: 568.
Menurut al-Hafidz Ibnu Hajar r.h:
“Hikmah larangan tersebut (berbincang- bincang setelah solat Isyak) adalah supaya tidak menyebabkan tertinggalnya solat malam atau terlalu asyik bersembang sehingga tidurnya terlalu lena dan terlepas waktu solat subuh”. – Rujuk kitab Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari jilid 3, ms. 412
Nah! Sekiranya berbicara setelah solat Isyak juga tidak digalakkan bagaimana pula dengan mereka yang lewat tidur kerana menonton televisyen, melepak di pusat-pusat hiburan yang penuh dengan perkara maksiat, berpeleseran di kotaraya tanpa arah tujuan dan lain-lain lagi? Oleh itu tidurlah awal nescaya kita akan memilki kesegaran tubuh badan untuk melakukan solat Tahajjud. Penulis juga telah memberi dua petua dari Rasul s.a.w. tentang bagaimana untuk menghilangkan perasaan mengantuk apabila bangun dari tidur untuk solat malam.
Bilangan rakaat solat Tahajjud ini terlalu banyak.
Sebagaimana yang telah penulis perjelaskan solat Tahajjud ini tidak memiliki jumlah yang maksimum untuk dilaksanakan. Malah memadai sekiranya dilakukan walaupun dengan hanya satu rakaat solat witir atau dua rakaat solat Tahajjud. Adakah solat seringkas ini juga tidak mampu untuk dilakukan?
Kami tidak menghafal surah-surah yang sepatutnya dibacakan untuk solat Tahajjud.
Sebenarnya tidak ada surah-surah tertentu yang perlu dibacakan dalam perlaksanaan solat Tahajjud ini. Bacalah mana-mana surah yang mudah bagi anda. Sekiranya anda hanya menghafal surah al-Kauthar (surah ke 108 yang merupakan surah terpendek dalam al-Qur’an) maka bacalah surah al-Kauthar itu di setiap rakaat. Walaupun begitu anda hendaklah berusaha untuk menghafal surah-surah lain untuk dibacakan pada masa hadapan.
Dengan ini jelas sebenarnya kita tidak memiliki sebarang alasan untuk tidak mengerjakan solat Tahajjud melainkan keuzuran atau keletihan yang luar biasa. Adalah harapan penulis melalui risalah ini, penulis telah berjaya membuktikan bahawa solat Tahajjud merupakan satu ibadah yang mudah untuk dikerjakan dan ianya memiliki keutamaan-keutamaan yang amat besar. Penulis juga berharap risalah ini dapat menimbulkan perasaan ghairah di dalam jiwa para pembaca yang budiman untuk melaksanakannya sesempurna mungkin. Oleh itu janganlah kita melepaskan peluang untuk mendapatkan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan oleh ALLAH S.W.T. itu dan marilah kita berlumba-lumba untuk menjadi al-Mutahajjid.
url : http://frm.waktusolat.net/viewtopic.php?t=209
url : http://lankapo.multiply.com/journal/item/38/
No comments:
Post a Comment