Tue, 21 Dec 2004
www.virtualfriends.net (VF)
HARGA dinar emas memuncak minggu lalu mencapai AS$67 (RM255) bagi setiap dinar. Harga satu dinar emas pada pertengahan tahun ini hanyalah dalam lingkungan RM215. Ini menunjukkan peningkatan harga dinar sebanyak 19 peratus diukur mengikut wang kertas Ringgit Malaysia. Sejak dolar Amerika Syarikat (AS) dihapuskan piawaiannya dengan emas, nilai mata wang ini terus menyusut. Oleh kerana emas diperniagakan di pasaran dunia dalam dolar AS, dinar emas masih dikira mengikut dolar Amerika. Jika Ringgit Malaysia atau mana-mana mata wang menyandarkan nilainya kepada dolar AS, mata wang itu juga terpaksa turut menyusut nilainya.
Sudah banyak bukti dikemukakan, emas adalah sandaran yang paling kukuh dan membawa nilai sebenar. Sebab itulah saranan dibuat supaya dinar emas menggantikan dolar AS. Umat Islam khasnya di negara ini sudah mula mengukur kekayaan dengan dinar emas dan bukan lagi dolar Amerika atau wang kertas lain. Bagaimana penyusutan dolar AS boleh berlaku? Dari manakah sistem wang kertas ini ditentukan nilainya dan mengapa ia terus menyusut? Sejarah menunjukkan sistem ukuran wang kertas terbentuk di Bretton Woods, New Hampshire Amerika Syarikat pada 1944, yang melahirkan satu perjanjian atau ikatan satu auns emas bersamaan AS$35. Setiap helai wang kertas AS$ boleh menebus satu auns emas tulen.
Inilah ciri utama perjanjian ikatan wang kertas dolar AS dan ketika itu, hanya wang dolar AS memiliki ikatan langsung dengan emas. Setiap helai dolar AS ketika itu ada nilai emas tetapi kandungan emas pada wang kertas negara lain bukan ikatan langsung seperti yang ada pada wang kertas dolar AS. Wang kertas negara lain dinilai mengikut sandaran emas dengan diukur kepada nilai dolar AS saja. Juga dalam perjanjian itu, ditetapkan kadar perubahan turun naik nilai dolar AS dibandingkan dengan wang negara lain terhad kepada satu peratus. Ini bermakna, kadar pertukaran boleh menyusut satu peratus atau meningkat sebanyak satu peratus dalam masa lima atau enam bulan.
Oleh itu, pedagang antarabangsa boleh menjangkakan kadar peratus turun naik dolar AS dan ini menjadikan perdagangan antarabangsa lebih stabil dan tidak begitu merugikan mana-mana pihak. Malangnya, kadar perubahan yang tidak menentu sekarang menyebabkan sebelah pihak mengalami kerugian dalam perdagangan antarabangsa. Apakah hubungan sejarah wang kertas dolar AS dengan emas. Perang Dunia Kedua menyebabkan AS mencetak lebih banyak wang kertas untuk membiayai belanja peperangan. Perkara yang sama berlaku di Eropah. Pada 1965, Kerajaan Perancis mengisytiharkan untuk menukar lebih daripada AS$300 yang disandarkan dengan emas dalam bentuk emas fizikal. Ini memeranjatkan AS kerana ia sebenarnya tidak ada emas sebanyak itu untuk dikembalikan.
Jika Amerika memenuhi permintaan Perancis, besar kemungkinan negara lain akan turut untuk menebus wang kertas dolar Amerika dengan emas yang tidak dimiliki. Apakah agaknya yang akan terjadi jika sekarang beberapa negara mula tidak mahu lagi menggunakan dolar Amerika dan mengembalikan dolar ini ke negara asalnya? Dunia sebenarnya tahu dolar AS hanyalah wang janji kosong dan emas yang dikatakan ada sebagai sandaran dolar sebenarnya satu pembohongan. Amerika tidak mempunyai emas sebanyak wang kertas yang dicetaknya. Jelas dolar Amerika adalah mata wang yang tidak mempunyai piawaian dan sebab itulah nilainya terus menyusut. Walaupun sukar bagi kita untuk membayangkan dolar Amerika tidak ada piawaian, tetapi itulah kebenarannya. Dolar Amerika kini sudah tidak disandarkan lagi dengan emas.
Sebelum peristiwa di Bretton Woods 1971, perpecahan sistem di Bretton Woods mula menular sejak 1967 apabila berlaku penyusutan nilai pound sterling Britain. Apabila England gagal memenuhi janji pembayaran emas yang disandarkan kepada pound sterling pada September, 1931, kesannya dunia mencari alternatif untuk menebus emas dan dunia beralih kepada stok emas AS yang akhirnya menyebabkan krisis perbankan pada 1933. Di antara 1967 hingga 1968, perkara yang sama berulang dan Amerika kehilangan lebih AS$3.2 bilion, iaitu bersamaan 20% jumlah simpanan emas Amerika. Pada tahun yang sama, emas simpanan di London terpaksa dijual dengan banyaknya untuk menurunkan harga emas supaya kekal pada kadar AS$35 dolar Amerika setiap auns.
Pada 10 Mac 1968, 900 tan emas dijual dengan harga hampir AS$1 bilion, sedangkan jualan harian di Bursa Saham London hanyalah antara tiga hingga lima tan. Emas di Paris ketika itu dijual dengan harga AS$44.36, jauh lebih tinggi daripada AS$35 piawaian yang ditetapkan di Bretton Woods. Kini harganya sudah mencecah AS$445.00 setiap auns dan dijangkakan terus meningkat sehingga ke paras AS$800 pada 2015. Pada Disember 1971, Presiden Richard Nixon bertemu Presiden Perancis, Georges Pompidou di Azores bersama-sama Henry Kissinger, Connally dan Volcker. Pada pertemuan itu, Nixon bersetuju menyusutkan nilai dolar dibandingkan emas dan pada waktu yang sama, Pompidou bersetuju tidak memohon pertukaran dolar kepada emas.
Pompidou dan Nixon bersetuju supaya dolar Amerika disusut nilai 8.6 peratus daripada AS$35 kepada AS$38 bagi setiap auns. Susut nilai terus berlaku kepada mata wang Eropah yang lain termasuk pound sterling. Pada Jun 1972, Bank Pusat England menjual AS$2.6 bilion bagi menstabilkan pound sterling. Inilah senjata biasa yang digunakan bagi menurunkan nilai emas dan membiarkan pound sterling diperniagakan pada peringkat antarabangsa. Sekarang, pedagang amat sukar untuk mendapatkan emas fizikal. Apa yang diperniagakan adalah penjualan stok dan saham. Pada waktu yang sama, institusi pelaburan atau dana umum dilarang daripada membeli jongkong emas secara langsung.
Jual beli stok perlombongan emas bukan bererti memiliki emas fizikal tetapi hanyalah nilai spekulatif pada bursa saham. Sebarang usaha untuk memiliki emas akan dikaitkan dengan kos yang mahal kerana ia membabitkan kos keselamatan, pengangkutan, insurans dan simpanan. Emas pula tidak boleh 'membiak' seperti wang kertas dan tidak meransangkan untuk orang awam memiliki emas. Peristiwa pada 15 Ogos 1971 menandakan titik bermulanya kerosakan dan kehancuran sistem kewangan kertas dunia. Ahli ekonomi terkenal, Lyndon LaRouch juga meramalkan kehancuran dolar Amerika dan Vadillo pula menyatakan sistem dolar Amerika sudah remuk ibarat kayu yang sudah dimakan anai-anai. Kayu yang diserang anai-anai nampaknya masih baik tetapi sebenarnya telah reput di dalamnya.
Begitulah sistem ekonomi kapitalis dolar Amerika. Sebenarnya masyarakat dunia hanya menunggu masa menyaksikan kehancuran dolar Amerika seperti yang pernah berlaku kepada pound sterling pada 1933 dan 1967. Sistem kapitalis Barat yang beroperasi sekarang membawa banyak kerosakan seperti apa yang pernah berlaku kepada negara Asia Tenggara ketika krisis kewangan 1997-98 dan seperti yang berlaku kepada Argentina, Mexico dan Russia. Apakah jaminan yang kita boleh pegang perkara yang sama tidak boleh berlaku kepada dolar Amerika? Sedangkan semua tanda menunjukkan sistem kapitalis dengan dolar Amerika menjadi tulang belakangnya akan runtuh. Sistem kapitalis yang berteraskan riba terbukti lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan kepada dunia, khasnya umat Islam di seluruh dunia.
Dalam menghadapi kemungkinan kehancuran dan penyusutan nilai dolar Amerika secara berterusan, umat Islam mesti bersedia mencari alternatif. Kita tidak boleh lagi terus menyokong sistem kewangan yang jelas lebih banyak membawa kemudaratan kepada dunia. Umat Islam mesti berhenti daripada terjebak dengan helah kapitalis supaya kita 'mengIslamkan' sistem kewangan kapitalis, seterusnya melambatkan keruntuhan sistem mereka. Sebenarnya umat Islamlah yang bertanggungjawab mempertahankan sistem kufar ini daripada runtuh kerana begitu banyak wang umat Islam dari negara Arab khasnya disimpan di London dan New York.
Ketahuilah bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap riba dan sesungguhnya tidak ada kekuatan yang boleh menandingi kekuatan Allah. Sistem ekonomi kapitalis berteraskan riba dan rosaknya dolar Amerika akan memudahkan lagi kehancurannya. Sekiranya ekonomi dunia membuat jangkaan dolar Amerika akan terus menyusut nilainya, mengapakah kita tidak mengambil langkah untuk melindungi harta kita? Umat Islam, khasnya negara kita selaku ketua kepada negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), mestilah mengorak strategi bagi menjaga kesejahteraan negara masing-masing. Pemimpin negara Islam mesti memulakan pembentukan dana simpanan negara dalam dinar emas.
Negara Islam mesti juga menjadikan dinar emas sebagai mata wang negara masing-masing kerana dinar emas tidak mempunyai identiti kenegaraan dan ini menyatukan umat Islam. Apabila umat Islam mempunyai wang sendiri, sudah tentu negara Islam akan menjadi lebih berdikari dan seterusnya melepaskan kebergantungan kepada sistem kapitalis berteraskan dolar Amerika. Dengan adanya dinar emas sebagai wang negara Islam, umat Islam tidak perlu lagi menghantar kekayaan kita untuk dipegang di London atau New York. Buat masa ini, kekayaan negara umat Islam diukur dengan simpanan dalam dolar Amerika yang disimpan di London.
Malangnya kekayaan yang kononnya lambang kemewahan negara digunakan orang lain untuk terus menjana kekayaan negara melalui sistem kapitalis Barat. Adalah wajar umat dan negara Islam kembali meletakkan kekayaan negara masing-masing diukur dalam dinar emas dan secara beransur-ansur dikurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika. Cadangan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dinar emas semestinya diberi perhatian berat oleh ulama, cendekiawan Islam, pemimpin negara dan rakyat seluruhnya.
No comments:
Post a Comment