Oleh Prof Madya Dr Zuhaimy Ismail (Utusan Malaysia)
IBNU Khaldun pernah menyatakan zaman kegemilangan akan diikuti zaman kemunduran dan untuk mengetahui zaman mana kita berada, pergilah ke pasar.
Jika pasar itu terbuka kepada semua orang, ia berada pada zaman kegemilangan dan jika pasar itu dimiliki beberapa keluarga atau dimonopoli oleh kumpulan tertentu, ia adalah zaman kemunduran.
Sistem kapitalis pada zaman ini mengamalkan sistem monopoli dan sering kita dapati perniagaan dikuasai syarikat rantaian. Apabila buka saja sebuah pasar raya besar di kawasan perumahan, kita dapati kedai runcit atau pengusaha bermodal kecil secara beransur-ansur akan tutup kedai.Malah sekarang ini kita dapati banyak kedai di kawasan perumahan tidak dihuni atau tidak digunakan untuk perniagaan, kesan pembukaan pasar raya besar.
Apakah kita boleh kategorikan zaman ini sebagai zaman kegemilangan? Umat Islam kini mesti memastikan perkara begini tidak berterusan dan pemerintah pula tidak cuma menerima dan mengikut arus perkembangan sistem kapitalis semata-mata.
Tidak keterlaluan jika kita katakan dunia Islam kini mengikut atau meniru dunia kufar, tidak terkecuali negara yang sepatutnya melindungi Islam. Umat Islam diajak serta dididik secara sistematik untuk melupakan keistimewaan yang ada pada mereka dan memandang tinggi akan apa yang ada pada kufar.
Kufar melakukan ini bukan saja melalui peperangan tetapi juga melalui penguasaan ekonomi dan tipu helah politik. Pelbagai peristiwa menunjukkan kepada kita bagaimana sistem kufar beroperasi bagi menguasai umat Islam.
Perhatikan apa yang berlaku kepada umat Islam di Chechnya? Umat Islam di Chechnya berjaya mengalahkan Russia dalam pertempuran yang mempunyai kekuatan ketenteraan tetapi umat Islam kalah di meja perundingan, pejuang Mujahidin Afghanistan menang di medan pertempuran, tetapi kalah di meja perundingan, begitu juga dengan Bosnia, Mesir dan banyak lagi contoh lain.
Inilah kekuatan dan kelemahan umat Islam yang dirasakan perlu kita tahu dan memperkuatkan mana yang lemah dan mempertahankan mana kekuatan yang kita ada disamping mengenali musuh kita.
Musuh umat Islam pada zaman ini adalah kapitalisme. Melalui pendidikan dengan pendekatan pengislaman ilmu, umat Islam dididik supaya sistem perbankan Barat diperkenalkan dan diterima.
Usaha ini bukan berlaku beberapa tahun kebelakangan ini malah telah lama diusahakan bagi merosak dan menguasai agama kita. Harus diingatkan bank Islam pertama di dunia bukan ditubuhkan oleh negara Islam tetapi sebaliknya ditubuhkan oleh ahli keluarga perbankan kufar di Luxemburg, dengan bantuan munafikun di kalangan umat Islam sendiri.
Penubuhan ini bertujuan untuk menarik wang keluar dari negara Arab dan disimpan di dalam bank Islam di Eropah. Umat Islam tidak mengambil keuntungan daripada faedah simpanan, maka bank Islam ini membuat keuntungan berlipat kali ganda.
Kapitalis menggunakan Islam untuk mengaut keuntungan tanpa mengira apa yang diharamkan atau dihalalkan oleh Islam. Riba, sesuatu yang diharamkan tetapi dihalalkan orang kufar. Malah kegiatan menghalalkan riba ini di kalangan orang Islam dimulakan oleh Muhammad Abdu dilantik Lord Cramer sebagai Syeikhul Universiti Al-Azhar dan telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam dibolehkan mengambil faedah daripada tabung simpanan (Al-Manar).
Ia disifatkan sebagai fatwa yang merosakkan agama dan amalan umat Islam. Fatwa ini membuka jalan kepada pembentukan bank dalam Islam dan seterusnya membolehkan wang kertas digunakan.Selepas itu ilmu ekonomi Barat boleh dimasukkan ke dalam pengajian Islam. Malah inilah tugas utama Abdu selepas dilantik rektor universiti terkenal itu. Sebab itulah kita katakan bahawa ilmu ekonomi adalah alat untuk mengalih pandangan umat Islam daripada masalah riba.
Ilmu ekonomi Islam pula terselindung di sebaliknya untuk membolehkan riba itu diterima oleh umat Islam. Inilah diajar kepada umat Islam selepas mereka menawan negara Islam seolah-olah umat Islam sebelum ini tidak pernah berdagang, tidak pernah memiliki harta, atau tidak pernah membuat transaksi yang besar.Melalui proses pengislaman ilmu yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu, kita dapati kufar berjaya menggunakan umat Islam sendiri untuk mengislamkan ekonomi dan dinamakan ‘ekonomi Islam’. Ini juga satu bidang ilmu.
Ini perkara baru direka khas bagi menguasai kekayaan umat Islam. Mereka mula memperkenalkan sistem kewangan Islam tanpa melihat akan wang itu sendiri, memperkenalkan takrifan baru bagi riba sebagai faedah, keuntungan, dividen yang diharamkan, bank adalah nadi pelaksanaan ekonomi kufar, oleh itu untuk memenuhi sistem ekonomi Islam, bank Islam dibentuk, seterusnya lahirlah apa yang dinamakan akaun Islam, opsyen Islam, bon Islam, bursa saham Islam, pelaburan Islam, insurans Islam dan banyak lagi label Islam.
Kini lahir pula kad kredit Islam. Jika kita selak di sebalik label Islam ini, ia tetap kufar, ia adalah sistem kapitalis yang di-Islamkan.Malah kini ada sesetengah negara mengeluarkan bir Islam, iaitu sejenis bir yang cuma ada 5 peratus alkohol di dalamnya dengan justifikasi bahawa tapai ubi mengandungi lebih banyak alkohol, tetapi dibolehkan.Tujuan perkara ini dibangkitkan adalah kerana kita dapati kufar sudah begitu berani menggunakan label Islam hanya kerana begitu ramai umat Islam yang inginkan sistem Islam, tetapi tidak tahu apa itu yang dibolehkan oleh Islam.Ke mana hala tuju kita umat Islam pada zaman moden ini.
Apakah kita mahu terus menjejaki kufar dan mengislamkan sistem kapitalis dan berpuas hati dengannya?Institusi perbankan gergasi dunia kini menggunakan cendekiawan Islam dari institusi pengajian tinggi untuk menulis dan dengan bersahaja menyatakan bahawa sistem insurans yang diamalkan sekarang ini adalah tradisi peninggalan Rasulullah saw.Bukankah ini satu penyelewengan yang boleh memudaratkan agama suci kita? Sedangkan Rasulullah tidak membenarkan seseorang itu memajak pokok yang sedang berbunga, tunggu sehingga pokok itu berbuah dan hampir masak baru boleh dipajakkan.
Rasulullah melarang sesuatu transaksi yang tidak pasti.Kita tidak boleh ‘mengislamkan riba’ begitulah juga kita tidak boleh mengislamkan whiski (arak).Apa yang berlaku sekarang adalah kad kredit yang dinamakan kad kredit Islam sedangkan ia adalah sama dengan sistem yang diamalkan oleh sistem kad kredit perbankan Barat. Umat Islam tetap akan menang dalam peperangan tetapi peperangan kapitalisme ini memerlukan persenjataan yang berlainan. Untuk menang mengatasi sistem kapitalisme ini umat Islam mesti mengangkat senjata dinar emas.Jika wang kertas alat ekonomi kufar, umat Islam akan menggunakan wang dinar emas untuk berdagang.
Sistem kewangan kufar akan hancur jika ramai yang tidak menggunakannya. Kajian yang tertulis dalam internet ada menyatakan jika hanya tujuh peratus (tujuh peratus) penyimpan wang di mana-mana bank di dunia ini mengeluarkan simpanannya serentak, maka hancurlah sistem perbankan Barat.Inilah kekuatan yang ada pada sistem perbankan kapitalisme di seluruh dunia. Bank memberi pinjaman 20 kali ganda daripada jumlah wang yang ada padanya dan mengenakan faedah kepada si peminjam. Jadi bank menjana wang daripada sesuatu yang tidak ada.Sistem kapitalisme adalah sistem kufar dan kekuatan sistem ini dianologikan Allah sebagai kuatnya sarang labah-labah. Sarang labah-labah nampak besar dan menggerunkan malah boleh menutup pintu gua, tetapi sebenarnya ia begitu rapuh sekali.
Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
No comments:
Post a Comment