test

test

Tuesday, July 18, 2006

Blok ekonomi dinar

KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI DINAR EMAS (ANJURAN DEWAN PERDAGANGAN ISLAM MALAYSIA)
Oleh Khalid Noorshah (Wartawan Utusan)
1 Julai 2003

KEPERCAYAAN terhadap dinar emas Islam (IGD) kian hari kian menebal apatah lagi ia menjadi antara cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menyelamatkan ekonomi dan mengekalkan kedaulatan negara daripada manipulasi dan spekulasi penyangak mata wang.

Selain itu, Dr. Mahathir turut melihat IGD sebagai mata wang pilihan yang bijak untuk menandingi dolar Amerika Syarikat (AS) di samping dapat menyatupadukan umat Islam sekiranya negara-negara Islam bersetuju menggunakan dinar emas sebagai mata wang dalam perdagangan sesama mereka.

Keyakinan bahawa dinar emas akan berjaya dan mendapat sokongan adalah berasaskan kepada sifat mata wang kertas itu sendiri. Perdana Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik.

Nilai intrinsik bermaksud ia dengan sendirinya berharga sedangkan wang kertas pula ialah mata wang fiat iaitu sejenis wang di mana undang-undang negara menentukan ia bernilai atau tidak dan harganya pula kini ditentukan oleh spekulasi dan manipulasi pasaran mata wang antarabangsa yang didominasikan oleh dolar AS.

Pergantungan kepada dolar AS menyebabkan mata wang kertas negara-negara di dunia berada di bawah pengaruh dan penguasaan dolar AS. Pendek kata, nilai mata wang kertas negara bangsa termasuk Malaysia bukan sahaja tidak akan melebihi malah tidak akan dapat menjadi setara dengan nilai dolar AS pada bila-bila masa pun.

Keadaan ini membawa maksud bahawa nilai mata wang yang merupakan perwakilan kekayaan sesebuah negara itu akan sentiasa kecil berbanding kekayaan AS dan ini membawa pengertian bahawa kekayaan sesebuah negara itu yang kini turut mewakili kedaulatannya, akan terdedah dan ditentukan oleh naik turun dolar AS.

Walaupun begitu, sehingga kini, di antara negara-negara Islam, hanya Republik Islam Iran sahaja yang telah menyatakan secara terbuka minat yang mendalam dan kesanggupan untuk menggunakan IGD sebagai mata wang dalam perdagangan dua hala, malah Iran turut mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat bagi menzahirkan penggunaan dinar emas.
Memahami cabaran yang mendatang, apatah lagi persidangan kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tinggal beberapa bulan sahaja lagi, amat kena pada waktunya Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Kuala Lumpur menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Dinar Emas Sebagai Satu Mata Wang Alternatif Antarabangsa hari ini (1 Julai 2003) di Pusat Dagangan Dunia Putra dan dirasmikan oleh Dr. Mahathir sendiri.

Empat penceramah iaitu Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Latifah Merican Cheong akan membincangkan Dinar Emas Sebagai Mata Wang Alternatif Antarabangsa; Pengarah Kanan Institutional and Private Banking Swiss Asia Capital (S) Pte. Ltd, Ralston C. Theideman membincangkan Kesan Dinar Emas Terhadap Pasaran Antarabangsa; pengasas Majalah Sinar, Pengiran Ir. Umar Azmon Amir Hassan membincangkan Dinamika Dinar Emas dan Penggunaannya Semula Yang Tidak Dapat Dielakkan; dan Pengarah Dinar & Dirham International, Pengiran Abdalhamid David Evans pula akan membincangkan Dinar Emas Wadah Bagi Perpaduan.

Menarik mengenai konvensyen ini berbanding dengan lain-lain seminar mengenai dinar emas ialah ucapan perasmian Dr. Mahathir akan disiarkan secara lintas langsung oleh RTM1. Tentunya, kita menjangkakan sesuatu telah diputuskan oleh kerajaan dalam mempromosi penggunaan dinar emas ini.

Para peserta konvensyen pula terdiri daripada kedutaan-kedutaan negara-negara Islam, institusi perbankan Islam, pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dalam ekonomi dan mata wang antarabangsa, tokoh-tokoh cendekiawan ekonomi, ketua-ketua pertubuhan perniagaan, pegawai-pegawai dari institusi pendidikan awam, dan ahli DPIM sendiri.

Konvensyen itu bertujuan membuka mata masyarakat Malaysia dan luar negara berkenaan peranan Islam sebagai penjana ekonomi serta prospek dinar emas untuk mendapat tempat dalam arena mata wang antarabangsa. Perbincangan itu juga diharap dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga Islam untuk menonjolkan identiti mereka di pasaran global.

Melihat kepada persiapan dan penekanan yang diberikan pada konvensyen kali ini, adalah jelas dan nyata bahawa Malaysia sememangnya mahu menerajui penggunaan semula dinar emas sebagai satu lagi mata wang pilihan bagi perdagangan antarabangsa.

Menjadi harapan kita bahawa dengan penyertaan yang begitu ramai dari negara luar, hasrat Perdana Menteri supaya satu blok ekonomi Islam menggunakan dinar emas akan tercapai.
Selain Iran dan Emiriah Arab Bersatu, belum ada lagi kerajaan negara Asia Barat yang menyahut atau merakamkan sokongan mereka secara terbuka kepada cadangan Malaysia untuk mewujudkan blok ekonomi Islam dengan menggunakan dinar emas.

Walaupun begitu, Mufti Mesir dalam satu kenyataan akhbar pada tahun 2001 telah menyambut baik penggunaan dinar emas yang dicadangkan oleh Malaysia atas asas bahawa ia akan tentunya memperkukuhkan semula kekuatan kewangan dan ekonomi negara-negara Islam.
Apa yang perlu dilakukan ialah sokongan daripada negara-negara Islam lain ketika sentimen negara-negara Asia Barat kini mengalih pandangan mereka untuk meningkatkan pelaburan di negara ini.

Penyertaan Arab Saudi juga dilihat sebagai penting kerana penggunaan dinar emas dapat dilaksanakan dengan serta-merta terutamanya oleh Tabung Haji dan Sistem Penerbangan Malaysia dan juga oleh para jemaah haji dari Malaysia dan juga Indonesia di mana pergerakan mempromosi dinar emas turut menjadi rancak di sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mungkin di sini juga terletak peranan DPIM untuk membantu mendapatkan sokongan ahli-ahli perniagaan tempatan, negara jiran dan dari negara-negara Islam di Asia Barat untuk menerima dinar emas sebagai mata wang antarabangsa.

Sebagai badan yang mewakili ahli-ahli perniagaan dan institusi perniagaan Islam negara ini, DPIM juga boleh memainkan peranan dalam mempromosi penggunaan dinar emas untuk pembayaran zakat perniagaan, zakat harta dan zakat simpanan selain daripada menggunakan dinar emas sebagai mahar atau mas kahwin. Adalah wajar disedari bahawa penggunaan dinar emas turut mempunyai kesannya dari segi tuntutan agama. Amalan membayar zakat menggunakan dinar emas mahupun dalam pemberian mahar bukanlah satu amalan yang asing bagi orang Islam dan juga pernah diamalkan oleh orang Melayu sebelum ini.

Dengan memahami bahawa penggunaan dinar emas sebagai mata wang turut mempunyai halangan-halangannya dalam sistem perbankan tetapi kita yakin halangan-halangan itu boleh diatasi melalui iltizam dan kebolehan kita untuk mengembalikan sesuatu yang akan menjamin kemerdekaan dan kedaulatan negara ini. Di samping itu, penggunaan semula dinar emas akan turut membuka ruang-ruang baru dalam sistem perdagangan yang sedia ada kerana disebabkan sifatnya yang intrinsik, ia akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang benar dalam berjual beli barangan dan akan mengecilkan pertumbuhan ekonomi spekulatif yang kini menjadi teras kepada ekonomi kapitalisme Barat.

Seperkara lain yang harus juga direnungkan bersama ialah dalam hasrat ingin memisahkan diri daripada dibelenggu dolar AS. Harga emas pada masa ini amat dipengaruhi oleh naik turun dolar AS maka satu mekanisme lain perlu diwujudkan bagi mengelakkan perangkap ini daripada berterusan. Selain itu, penggunaan dinar emas akan turut menuntut kaedah-kaedah pelaburan baru yang mematuhi kehendak-kehendak syariah yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam kerana penggunaan semula dinar emas juga amat berkait rapat dengan keadilan sosial dalam memulangkan kembali kekayaan kepada orang ramai.

Ini adalah antara cabaran yang menunggu untuk ditangani apabila dinar emas kembali menjadi salah satu mata wang antarabangsa dan tentunya, bagi menjayakannya, penilaian semula terhadap prinsip perdagangan dan etika kewangan yang sedia ada, mahu tidak mahu, akan terpaksa dihadapi.

No comments: