test

test

Tuesday, July 18, 2006

Kapitalis dan Duit Kertas

http://www.pakdi.com/blog/surat/archives/2005/12/kapitalis_dan_d.html

Kiriman ambo pasal financial planning tu, kau kata duit boleh simpan sampai 2nd & 3rd generation. Aku ragu2 sikit sbb apa yg aku tahu, pakar2 ekonomi dunia meramalkan akan berlaku krisis ekonomi yg teruk yg boleh hancurkan ekonomi kapitalis. (mereka bukan Tuhan tapi sekurang-kurangnya mereka ada fakta yg kukuh untuk sokong pendapat mereka. Pakar ekonomi Islam yg merujuk kepada Al-Quran dan hadis juga mengesahkan perkara ini pasti akan terjadi).

Bila ekonomi kapitalis collapse, kita tak boleh ambik duit dlm bank. Aku dengar ceramah Mr Matthias Chiang, bekas penasihat politik Tun Dr M. Dia kata ni pasti jadi dlm masa terdekat, 5 thn, tapi perkara ni tak mungkin dicakap dalam perhimpunan agung umno. Dia ni Christian Katolik yg anti-Zionis. Dia kemukakan bukti berupa kenyataan2 oleh penasihat2 Bush, professor di Havard dan Oxford, org2 kuat IMF, Bank Dunia dan segala sifu zionis. Mrk kata system ekonomi kapitalis akan collapse, keadaan dunia akan jadi lebih teruk daripada krisis ekonomi dunia 1930. Mamat ni masih close dgn Tun Dr M dan tulis buku tajuk "FUTURE FASTFOWARD".

Aku juga jumpa Umar Vadillo yg terkenal di peringkat dunia kerana mengkaji system kapitalis. Aku pernah wawancara dia di Hotel Prince, KL masa dia dtg nak jumpa Tun Dr M. Dia kata system kapitalis memang dah nak hancur tak lama lagi. Jadi org sekarang beli duit emas yg dikeluarkan oleh syktnya beribu pejabat di Dubai dan ada cawangan di Labuan. Dia kata kat aku, org Malaysia yang paling byk simpan duit emas dalam akaun syarikat dia ialah Dr M dan Pak Lah. Maknanya Dr M dan Pak Lah memang well prepared untuk hadapi kehancuran system kapitalis.

Seorang professor ekonomi di UIA, Prof Kamil ada tulis buku pasal masalah duit kertas dan duit dalam bentuk angka ni (duit elektronik). Dia kata duit dalam bentuk angka tu sebenarnya tak wujud pun dlm bank. Duit kertas yg kita simpan bawah bantal atau tabung di rumah pulak akan menyusut dan menyusut dengan teruk sekali nanti. RM1,000 hari ni tak boleh beli apa pun di masa depan. Terkejut aku baca penerangan dia pasal "money creation" oleh bank. Masalahnya, cerita pasal ni tak keluar pun dalam akhbar arus perdana Malaysia (i.e. berita harian, utusan, star, nst.

Akhbar kita hanya memetik sebijik2 laporan CNN, BBC, CNBC, Reauters yang sebenarnya tak betul tu). Sekarang, ekonomi sudah teruk. Nak tahu teruk atau tidak, jangan tengok CNN, CNBC, Reauters dan sebagainya. Media macam ni tak akan cakap perkara yg benar. Tapi bacalah akhbar2 eksklusif utk geng2 Zionis spt Herald, Weekly Commentator, Jerusalem Post, etc. Akhbar ni boleh di access via internet. Media mcm ni dibaca oleh sifu-sifu zionis. Aku kemudian buat research sikit2 pasal money meltdown melalui internet.

Lepas tu, aku buat research pasal kekayaan dalam Islam. Aku dapat tahu kekayaan sebenar ialah :-
1. tanah (lebih baik tanah tepi sungai atau yg ada air mengalir berdekatannya)
2. emas dan perak Mengejutkan, sekarang ini emas lah yang sedang dikumpul oleh zionis. Rezab emas terbesar berada di US dan Europe. Nak ambil emas, mereka tukarkan kepada negara lain dgn duit kertas.

Harus diingat geng2 Zionis itu lah juga yg memiliki bank. (Sila rujuk buku2 atau rencana internet mengenai sejarah dan asal usul bank) Sudahnya, kita semua satu dunia, simpan duit kertas yg menurut pakar ekonomi tak akan bernilai di kemudian hari. (RUJUK RENCANA2 VIA INTERNET DI BAWAH TOPIC - THE DEATH OF MONEY) Yg bernilai ialah emas, minyak dan kemudiannya air bersih. (kerana air akan tercemar dengan teruk di masa depan. BBC pada tahun 2001 melaporkan bahawa air Sea of Galilee (sebuah tasik sebenarnya) di Palestin sedang surut dan tidak ada tanda2 akan pasang semula. Saintis buat kiraan dalam 50 tahun lagi tak ada setitik air pun di situ. Middle East dan Zionis akan bercakaran kerana air pulak!

Separuh kedua abad ini adalah era 'haus kerana tidak ada air' dan 'bergelap kerana tiada minyak' menurut kata penganalisis dunia). Tahun lepas, aku attend seminar nuclear di hotel renaissance. Seorang pakar Jepun kata minyak dlm bumi ni hanya bertahan utk 30 tahun saja. Lepas tu, aku tanya Tan Sri Penasihat Sains Negara, "Tan Sri, apa kita nak buat sebab kita tak ada polisi tenaga nuklear?" Dia jawab, "no comment. You kena tanya menteri. "Aku call pejabat menteri, menteri lak pergi US. Masa tu aku tengah tulis rencana mengenai polisi tenaga nuclear Malaysia sebagai persediaan hadapi kekurangan minyak.

Aku juga pernah wawancara seorang ahli korporat yg juga kawan baik atau mungkin juga kroni kepada Tun Dr M. Datuk ni mengaku dia tak simpan duit kertas dlm bank, tapi simpan duit emas. Keuntungan yg dia dapat daripada aktiviti perniagaan pulak dibahagi-bahagikan pada org miskin. "don't keep money," macam tu lah dia kata kat aku. Lepas aku wawancara dia, dia bagi hadiah kat aku tiga buah buku berkaitan duit kertas dan kaitannya dengan RIBA (FAEDAH BANK). Buku tu menerangkan bahawa RIBA (FAEDAH BANK), duit kertas dan duit elektronik akan dengan sendirinya jadi penyebab kepada kehancuran system ekonomi kapitalis nanti.

Bukti dah ada depan mata iaitu krisis ekonomi Asia 1997 angkara George Soros dulu. Datuk tu kata dia tengah kaji Al-Quran dan dpt tahu apa erti kekayaan yg sebenar. Bila baca surah Yusuf, dia terkejut dan baru tahu kita semua kena simpan MAKANAN, bukannya DUIT KERTAS or DUIT ELEKTRONIK. Mengejutkan juga bila dapat tahu, US sekarang, selain emas dan minyak, sedang MENYIMPAN MAKANAN SEBERAPA BANYAK YG BOLEH! Duit kertas dan duit elektronik pulak dilambakkan ke negara lain di mana tiga per empat daripada dolar sekarang sedang berligar2 di luar US dan sedang menunggu masa untuk collapse. (rujuk rencana2 mengenai krisis dolar Amerika).

Di sini aku petik sikit beberapa kenyataan :- MD IMF, Rodrigo de Rato, "We believe such a large imbalance of growing indebtedness by the US is a risk not only for the US economy, but for the world economy." Bob Mc Teer, Presiden Reserve Bank of Dallas "over time there is only one direction for the dollar to go lower". Warren buffet, pemain saham terkenal dunia kata : "we view them as TIME BOMBS both for the parties that deal in them and the economic system." Paul Volker, bekas pengerusi Federal Reserve Board, "we have a 75% chance of a crisis within 5 years".

Aku sekadar nak berkongsi pengetahuan dan mencetuskan pemikiran sahaja. Apa pun kau fikir pasal maklumat aku ni, terpulang lah. Wallahualam.

Malaysia guna dinar emas dengan tiga negara Asia Barat

25 April 2006
Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 1 Mei - Malaysia akan menjalankan perdagangan berasaskan dinar emas dengan tiga negara Asia Barat sebagai ganti kepada dolar Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu masih dalam kajian dan belum ada keputusan konkrit mengenainya.Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama tiga negara Asia Barat berkenaan.``Kita sedang kaji negara mana yang sesuai. Kita belum buat keputusan. Ada tiga negara Asia Barat. Mungkin mereka akan terima. Terpulang pada mereka.

``Bukan mudah hendak bagi orang terima penggunaan sesuatu mata wang, tetapi kita yakin dengan beberapa negara yang kita mempunyai hubungan rapat, kita akan mempromosikannya,'' katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja 2002 Bagi Sektor Awam anjuran Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Bukit Kiara di sini, hari ini.

Perdana Menteri seterusnya berkata, sehingga kini, Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan 24 negara yang menjalankan urusan menerusi pembayaran dua hala.
``Mana-mana negara pun kita boleh runding, tetapi tidak semestinya dengan 24 negara berkenaan,'' katanya. Beliau menjelaskan, pengenalan dinar emas sebenarnya masih asing bagi kebanyakan negara yang selama ini menggunakan dolar AS dalam urusan perdagangan mereka.
Sehubungan itu, kata beliau, Malaysia tidak boleh memaksa sesebuah negara menerima penggunaan mata wang berkenaan bagi menggantikan dolar AS.

``Kita sedang mempromosikan penggunaannya, tetapi kita bukan boleh paksa negara lain. Kalau mereka tak mahu guna, kita tidak boleh paksa.``Mereka perlu kaji ekonomi dan hubungan dengan negara lain,'' katanya. Namun begitu, kata Dr. Mahathir, pengenalan terhadap dinar emas mendapat sambutan baik di kalangan banyak negara. Ini kerana, tegas beliau, penggunaan mata wang dinar yang bersandarkan kepada harga tetap emas mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding dolar AS.

``Dengan emas, kita tidak boleh terlalu membuat spekulasi sebagaimana dolar. Harga emas adalah tetap. ``Kita hanya nilai wang dengan harga emas sebenar dalam sesebuah negara itu,'' jelasnya. Dr. Mahathir menjelaskan, penggunaan mata wang dinar bagi menggantikan dolar AS dapat menyelesaikan banyak masalah terutama dalam masalah turun naik mata wang sesebuah negara. Beliau berkata, satu lagi seminar bagi membincangkan penggunaan mata wang tersebut akan diadakan bagi peringkat antarabangsa di sini. Perkara itu, katanya, perlu diberi penerangan dengan sejelas-jelasnya memandangkan ia merupakan sesuatu yang dianggap baru oleh setiap negara.

Ditanya sama ada wujud bangkangan daripada pihak Barat terhadap pengenalan penggunaan dinar emas, Perdana Menteri berkata: ``Tidak ada bangkangan.''

Harga Dinar Emas Memuncak

Tue, 21 Dec 2004
www.virtualfriends.net (VF)

HARGA dinar emas memuncak minggu lalu mencapai AS$67 (RM255) bagi setiap dinar. Harga satu dinar emas pada pertengahan tahun ini hanyalah dalam lingkungan RM215. Ini menunjukkan peningkatan harga dinar sebanyak 19 peratus diukur mengikut wang kertas Ringgit Malaysia. Sejak dolar Amerika Syarikat (AS) dihapuskan piawaiannya dengan emas, nilai mata wang ini terus menyusut. Oleh kerana emas diperniagakan di pasaran dunia dalam dolar AS, dinar emas masih dikira mengikut dolar Amerika. Jika Ringgit Malaysia atau mana-mana mata wang menyandarkan nilainya kepada dolar AS, mata wang itu juga terpaksa turut menyusut nilainya.

Sudah banyak bukti dikemukakan, emas adalah sandaran yang paling kukuh dan membawa nilai sebenar. Sebab itulah saranan dibuat supaya dinar emas menggantikan dolar AS. Umat Islam khasnya di negara ini sudah mula mengukur kekayaan dengan dinar emas dan bukan lagi dolar Amerika atau wang kertas lain. Bagaimana penyusutan dolar AS boleh berlaku? Dari manakah sistem wang kertas ini ditentukan nilainya dan mengapa ia terus menyusut? Sejarah menunjukkan sistem ukuran wang kertas terbentuk di Bretton Woods, New Hampshire Amerika Syarikat pada 1944, yang melahirkan satu perjanjian atau ikatan satu auns emas bersamaan AS$35. Setiap helai wang kertas AS$ boleh menebus satu auns emas tulen.

Inilah ciri utama perjanjian ikatan wang kertas dolar AS dan ketika itu, hanya wang dolar AS memiliki ikatan langsung dengan emas. Setiap helai dolar AS ketika itu ada nilai emas tetapi kandungan emas pada wang kertas negara lain bukan ikatan langsung seperti yang ada pada wang kertas dolar AS. Wang kertas negara lain dinilai mengikut sandaran emas dengan diukur kepada nilai dolar AS saja. Juga dalam perjanjian itu, ditetapkan kadar perubahan turun naik nilai dolar AS dibandingkan dengan wang negara lain terhad kepada satu peratus. Ini bermakna, kadar pertukaran boleh menyusut satu peratus atau meningkat sebanyak satu peratus dalam masa lima atau enam bulan.

Oleh itu, pedagang antarabangsa boleh menjangkakan kadar peratus turun naik dolar AS dan ini menjadikan perdagangan antarabangsa lebih stabil dan tidak begitu merugikan mana-mana pihak. Malangnya, kadar perubahan yang tidak menentu sekarang menyebabkan sebelah pihak mengalami kerugian dalam perdagangan antarabangsa. Apakah hubungan sejarah wang kertas dolar AS dengan emas. Perang Dunia Kedua menyebabkan AS mencetak lebih banyak wang kertas untuk membiayai belanja peperangan. Perkara yang sama berlaku di Eropah. Pada 1965, Kerajaan Perancis mengisytiharkan untuk menukar lebih daripada AS$300 yang disandarkan dengan emas dalam bentuk emas fizikal. Ini memeranjatkan AS kerana ia sebenarnya tidak ada emas sebanyak itu untuk dikembalikan.

Jika Amerika memenuhi permintaan Perancis, besar kemungkinan negara lain akan turut untuk menebus wang kertas dolar Amerika dengan emas yang tidak dimiliki. Apakah agaknya yang akan terjadi jika sekarang beberapa negara mula tidak mahu lagi menggunakan dolar Amerika dan mengembalikan dolar ini ke negara asalnya? Dunia sebenarnya tahu dolar AS hanyalah wang janji kosong dan emas yang dikatakan ada sebagai sandaran dolar sebenarnya satu pembohongan. Amerika tidak mempunyai emas sebanyak wang kertas yang dicetaknya. Jelas dolar Amerika adalah mata wang yang tidak mempunyai piawaian dan sebab itulah nilainya terus menyusut. Walaupun sukar bagi kita untuk membayangkan dolar Amerika tidak ada piawaian, tetapi itulah kebenarannya. Dolar Amerika kini sudah tidak disandarkan lagi dengan emas.

Sebelum peristiwa di Bretton Woods 1971, perpecahan sistem di Bretton Woods mula menular sejak 1967 apabila berlaku penyusutan nilai pound sterling Britain. Apabila England gagal memenuhi janji pembayaran emas yang disandarkan kepada pound sterling pada September, 1931, kesannya dunia mencari alternatif untuk menebus emas dan dunia beralih kepada stok emas AS yang akhirnya menyebabkan krisis perbankan pada 1933. Di antara 1967 hingga 1968, perkara yang sama berulang dan Amerika kehilangan lebih AS$3.2 bilion, iaitu bersamaan 20% jumlah simpanan emas Amerika. Pada tahun yang sama, emas simpanan di London terpaksa dijual dengan banyaknya untuk menurunkan harga emas supaya kekal pada kadar AS$35 dolar Amerika setiap auns.

Pada 10 Mac 1968, 900 tan emas dijual dengan harga hampir AS$1 bilion, sedangkan jualan harian di Bursa Saham London hanyalah antara tiga hingga lima tan. Emas di Paris ketika itu dijual dengan harga AS$44.36, jauh lebih tinggi daripada AS$35 piawaian yang ditetapkan di Bretton Woods. Kini harganya sudah mencecah AS$445.00 setiap auns dan dijangkakan terus meningkat sehingga ke paras AS$800 pada 2015. Pada Disember 1971, Presiden Richard Nixon bertemu Presiden Perancis, Georges Pompidou di Azores bersama-sama Henry Kissinger, Connally dan Volcker. Pada pertemuan itu, Nixon bersetuju menyusutkan nilai dolar dibandingkan emas dan pada waktu yang sama, Pompidou bersetuju tidak memohon pertukaran dolar kepada emas.

Pompidou dan Nixon bersetuju supaya dolar Amerika disusut nilai 8.6 peratus daripada AS$35 kepada AS$38 bagi setiap auns. Susut nilai terus berlaku kepada mata wang Eropah yang lain termasuk pound sterling. Pada Jun 1972, Bank Pusat England menjual AS$2.6 bilion bagi menstabilkan pound sterling. Inilah senjata biasa yang digunakan bagi menurunkan nilai emas dan membiarkan pound sterling diperniagakan pada peringkat antarabangsa. Sekarang, pedagang amat sukar untuk mendapatkan emas fizikal. Apa yang diperniagakan adalah penjualan stok dan saham. Pada waktu yang sama, institusi pelaburan atau dana umum dilarang daripada membeli jongkong emas secara langsung.

Jual beli stok perlombongan emas bukan bererti memiliki emas fizikal tetapi hanyalah nilai spekulatif pada bursa saham. Sebarang usaha untuk memiliki emas akan dikaitkan dengan kos yang mahal kerana ia membabitkan kos keselamatan, pengangkutan, insurans dan simpanan. Emas pula tidak boleh 'membiak' seperti wang kertas dan tidak meransangkan untuk orang awam memiliki emas. Peristiwa pada 15 Ogos 1971 menandakan titik bermulanya kerosakan dan kehancuran sistem kewangan kertas dunia. Ahli ekonomi terkenal, Lyndon LaRouch juga meramalkan kehancuran dolar Amerika dan Vadillo pula menyatakan sistem dolar Amerika sudah remuk ibarat kayu yang sudah dimakan anai-anai. Kayu yang diserang anai-anai nampaknya masih baik tetapi sebenarnya telah reput di dalamnya.

Begitulah sistem ekonomi kapitalis dolar Amerika. Sebenarnya masyarakat dunia hanya menunggu masa menyaksikan kehancuran dolar Amerika seperti yang pernah berlaku kepada pound sterling pada 1933 dan 1967. Sistem kapitalis Barat yang beroperasi sekarang membawa banyak kerosakan seperti apa yang pernah berlaku kepada negara Asia Tenggara ketika krisis kewangan 1997-98 dan seperti yang berlaku kepada Argentina, Mexico dan Russia. Apakah jaminan yang kita boleh pegang perkara yang sama tidak boleh berlaku kepada dolar Amerika? Sedangkan semua tanda menunjukkan sistem kapitalis dengan dolar Amerika menjadi tulang belakangnya akan runtuh. Sistem kapitalis yang berteraskan riba terbukti lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan kepada dunia, khasnya umat Islam di seluruh dunia.

Dalam menghadapi kemungkinan kehancuran dan penyusutan nilai dolar Amerika secara berterusan, umat Islam mesti bersedia mencari alternatif. Kita tidak boleh lagi terus menyokong sistem kewangan yang jelas lebih banyak membawa kemudaratan kepada dunia. Umat Islam mesti berhenti daripada terjebak dengan helah kapitalis supaya kita 'mengIslamkan' sistem kewangan kapitalis, seterusnya melambatkan keruntuhan sistem mereka. Sebenarnya umat Islamlah yang bertanggungjawab mempertahankan sistem kufar ini daripada runtuh kerana begitu banyak wang umat Islam dari negara Arab khasnya disimpan di London dan New York.

Ketahuilah bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya mengisytiharkan perang terhadap riba dan sesungguhnya tidak ada kekuatan yang boleh menandingi kekuatan Allah. Sistem ekonomi kapitalis berteraskan riba dan rosaknya dolar Amerika akan memudahkan lagi kehancurannya. Sekiranya ekonomi dunia membuat jangkaan dolar Amerika akan terus menyusut nilainya, mengapakah kita tidak mengambil langkah untuk melindungi harta kita? Umat Islam, khasnya negara kita selaku ketua kepada negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), mestilah mengorak strategi bagi menjaga kesejahteraan negara masing-masing. Pemimpin negara Islam mesti memulakan pembentukan dana simpanan negara dalam dinar emas.

Negara Islam mesti juga menjadikan dinar emas sebagai mata wang negara masing-masing kerana dinar emas tidak mempunyai identiti kenegaraan dan ini menyatukan umat Islam. Apabila umat Islam mempunyai wang sendiri, sudah tentu negara Islam akan menjadi lebih berdikari dan seterusnya melepaskan kebergantungan kepada sistem kapitalis berteraskan dolar Amerika. Dengan adanya dinar emas sebagai wang negara Islam, umat Islam tidak perlu lagi menghantar kekayaan kita untuk dipegang di London atau New York. Buat masa ini, kekayaan negara umat Islam diukur dengan simpanan dalam dolar Amerika yang disimpan di London.

Malangnya kekayaan yang kononnya lambang kemewahan negara digunakan orang lain untuk terus menjana kekayaan negara melalui sistem kapitalis Barat. Adalah wajar umat dan negara Islam kembali meletakkan kekayaan negara masing-masing diukur dalam dinar emas dan secara beransur-ansur dikurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika. Cadangan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dinar emas semestinya diberi perhatian berat oleh ulama, cendekiawan Islam, pemimpin negara dan rakyat seluruhnya.

Apa jadi dengan wang Dinar emas?

oleh Jude Wanniski
Monday, December 20, 2004 (Malaysia Today)

Ketika Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad bersara November 2003 selepas 22 tahun berkuasa pada umur 77, saya telah berharap yang beliau akan menggandakan usahanya untuk membuat reformasi matawang bagi dunia Islam yang berasaskan wang dinar emas.Tetapi, selepas beberapa ucapan dan liputan media mengenai subjek ini, beliau telah 'hilang' dari pandangan ramai.Dengan harga dolar untuk emas kini semakin melonjak, dan dolar AS semakin menurun berbanding euro, seluruh dunia mungkin mendapat faedah dari idea Mahathir, tetapi apa yang telah berlaku?Pengerusi Rizab Persekutuan AS Alan Greenspan minggu lepas telah mengejutkan pasaran kewangan dan komoditi dengan komennya di sebuah persidangan perbankan di Frankfurt, dengan mengatakan yang dolar akan terus jatuh berbanding matawang lain disebabkan defisit perdagangan AS.

Namun, jika Amerika Syarikat mempunyai dolar emas, ini tidak mungkin berlaku, dan Greenspan, yang saya kenali secara peribadi selama 32 tahun, sedar akan hal ini.Disebabkan dolar 'terapung-apung' tanpa sebarang ikatan dengan nilai emas, ia telah mengalami kitaran inflasi, yang mungkin akan melibatkan seluruh Asia dalam satu lagi inflasi, melalui hubungan di antara dolar dan matawang China dan Hong Kong.Mungkin sekarang adalah masa yang baik untuk berfikir sejenak mengenai inspirasi dan kegagalan Mahathir, dan bagaimana penggunaan dinar emas mungkin akan berjaya jikalau dijalankan dengan cara berlainan.

Mengapa saya berminat? Saya telah cuba untuk mempengaruhi negara saya sejak suku abad lepas untuk mengembalikan dolar emas sebagai inti utama dalam sistem kewangan antarabangsa yang baru. Saya masih gagal hingga kini kerana dunia perdagangan terus terumbang-ambing dengan dolar AS yang terapung, dan mengalami inflasi dan deflasi dalam kitaran yang tidak dijangka.Kuasa-kuasa elit yang menguasai wang dan bank di AS percaya bahawa dolar kertas AS yang terapung adalah baik untuk Amerika walaupun ia mendatangkan masalah untuk perdagangan negara lain dan dunia luar.

Dengan dinar emas Islam, saya menjangka, dunia Islam akan mempunyai matawang terbaik di dunia. AS akan terpaksa menyandarkan dolar kepada emas dan euro, dan blok yuan/yen akan turut serta.Sebabnya, matawang terbaik akan menjadi magnet untuk kewangan antarabangsa, kerana pengeksport dan pengimport setiap negara di dunia akan menjimatkan berbilion-bilion dolar setahun yang dibelanjakan unutk mengatasi kerugian matawang di pasaran dunia.Ketika presiden Richard Nixon meninggalkan piawai pertukaran emas Bretton Woods pada 15 Ogos 1971, dengan pendapat yang ia akan membantu AS tanpa menghiraukan negara-negara lain, bank-bank Amerika menjadi yang terbesar dan paling menguntungkan di dunia.

Ini kemudiannya berakhir ketika kerajaan Jepun mengekalkan yen dari terus menjunam berbanding emas seperti dolar; secara tiba-tiba, Jepun mempunyai wang yang 'lebih baik'. Untuk 15 tahun, antara 7 bank terbesar di dunia terletak di Jepun.Pengalaman 'manis' Jepun ini berakhir apabila Perbendaharaan AS mengugut Tokyo pada 1989 dengan penalti perdagangan melainkan Jepun menukar polisinya untuk kebaikan AS.Tokyo kemudiannya memperlahankan peningkatan harga hartanah dengan cukai pendapatan kapital yang lebih berkesan, dan menyebabkan Nikkei jatuh dari tahap tertingginya pada 1990.Bank Jepun terpaksa menguruskan matawangnya untuk menjadi lebih rapat kepada dolar.

Ini telah memberi kesan negatif kepada bank-bank dalam deflasi kewangan pada 1997, ketika emas jatuh dari $385 /oz ke $255 pada 2001.Dalam proses itu, deflasi dolar juga telah membinasakan negara-negara pengeluar komoditi di Asia.Kerana itulah Mahathir mula memikirkan untuk melindungi dunia Islam dari keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli bank Wall Street.Beliau menarik perhatian dunia dengan menyalahkan Yahudi Amerika tentang krisis kewangan Asia, tetapi dalam satu surat terbuka kepada perdana menteri yang saya paparkan dalam laman web saya ketika itu, saya menjelaskan yang lebih banyak klien Yahudi saya di Wall Street telah mengalami kerugian ketika krisis tersebut, bukannya mendapat keuntungan.

Masalah ini telah menjadi punca kelemahan teori ekonomi di AS, menyebabkan Nixon membuat keputusan untuk membebaskan dolar dari emas pada 1971.Mahathir masih lagi berkuasa pada 2001 ketika mengumumkan ideanya mengenai dinar emas, dan beliau berharap pada 2003 sekurang-kurangnya dua belas dari 57 negara Organisasi Negara-negara Islam (OIC) akan turut serta dalam sistemnya ini.Media dunia juga percaya bahawa Iran akan menyertai Malaysia tahun yang seterusnya. Tetapi, tiada apa-apa yang berlaku, dan kini dinar emas hanya menjadi bahan gurauan dan perbualan kalangan ahli kewangan. Mengapa idea ini dimansuhkan?Salah satu masalah yang dihadapi Mahathir adalah Washington telah menggunakan pengaruhnya untuk meminta Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk menghalang mana-mana negara ahli untuk mengembalikan matawang bersandarkan emas.

Jikalau semua matawang lain diapungkan dan tidak disandarkan kepada emas, dolar AS akan mengekalkan statusnya sebagai matawang rizab utama dunia.Beberapa negara Arab diketuai oleh Arab Saudi sebaliknya telah membincangkan idea pasaran Arab yang disandarkan kepada euro.Sekurang-kurangnya euro adalah lebih stabil berbanding dolar kepada emas, tetapi euro masih lagi berubah-ubah yang membawa masalah kepada perniagaan komersil untuk negara-negara membangun yang berada di dalam zon dagangannya.Kesalahan yang dilakukan Mahathir adalah mencadangkan bahawa dinar emas hanya digunakan untuk menyelesaikan akaun perdagangan di antara negara-negara terlibat.

Ia tidak akan diberi kepada orang-orang biasa. Tiada kertas dinar emas yang dikeluarkan oleh bank-bank utama Islam, dengan menambah atau menolak kecairan matawang ini, untuk mengekalkan kadar tukaran dinar berbanding emas.Kesilapannya mungkin kerana kepercayaannya bahawa sesebuah negara seharusnya memerlukan jongkong emas untuk menguruskan piawai emas Islam. Ini adalah salah.Sebenarnya, bank-bank kerajaan hanya memerlukan kuantiti emas yang nominal, dan keseimbangan perdagangan akan tercapai melalui penukaran aset kewangan - pinjaman atau ekuiti, bon atau saham.Idea untuk menyelesaikan akaun perdagangan dengan penghantaran jongkong emas adalah idea abad ke 19 yang telah lapuk, dan seharusnya dilupakan dan dipinggirkan dari sebarang rancangan.

Faktor utama emas menjadi kuasa penstabil adalah kerana hanya terdapat sedikit emas di dunia, kurang dari 135,000 ton metrik kesemuanya.Ini tidak cukup untuk membina separuh dari Monumen Washington dari emas tulen. Idea ini bukannya datang dari saya sahaja.En Greenspan juga berkata demikian kepada Kongres AS.Piawai emas yang moden hanya menggunakan harga pasaran emas sebagai tanda, membuat penambahan kepada bekalan wang dinar apabila harga dinar/emas menunjukkan kejatuhan kecil dan mengeluarkan bekalan dinar apabila harga pasaran menunjukkan peningkatan.Konsep mudah ini pernah digunakan oleh Alexander Hamilton, setiausaha perbendaharaan pertama Amerika, untuk mempengaruhi Kongres AS untuk menggunakan piawai emas. Ini berlaku ketika republik baru ini tidak mempunyai sedikit emas pun.

Kesilapan kedua Mahathir adalah memikirkan bahawa dinar emas boleh digunakan secara beransur-ansur, dengan dua atau tiga negara membuat percubaan dan yang lain-lain akan turut serta ketika ia telah terbukti keberkesanannya.Adalah menjadi lebih mudah untuk menganjurkan persidangan Bretton Woods Islam yang terdiri dari kesemua 57 negara, dan mengaturkan supaya kesemua, atau hampir kesemuanya, untuk bersetuju mengekalkan matawang tempatan mereka sesama sendiri. Mereka akan menggunakan harga emas pasaran sebagai petanda sama ada bank pusat mereka patut menambah atau mengurangkan kecairan dinar pada hari perniagaan tersebut.Sebuah ekonomi kecil mahupun beberapa ekonomi kecil tidak mampu mengaturkan piawai emas secara bersendirian kerana pasaran AS masih menguasai perdagangan dunia dengan jumlah import dan eksportnya.

Negara-negara Islam secara sendiri yang terpaksa mengambilkira nilai dolar ketika menguruskan matawang tempatan ataupun perdagangan tempatannya, mungkin akan menghadapi masalah dan kemungkinan muflis.Walau bagaimanapun, perpaduan akan membawa kekuatan, dan dunia Islam kini mempunyai kekuatan yang cukup secara keseluruhannya untuk bangkit menentang dolar yang berubah-ubah. Dan sudah tentu, dolar tidak akan terumbang-ambing untuk masa yang lama sebelum Washington membuat keputusan untuk berhenti memanipulasi dolarnya dan turut serta dalam pengstabilan matawang berbanding emas.Namun, masa mungkin sudah berlalu untuk dunia Islam melakukan inisiatif ini.

Dengan Greenspan tidak mengambil tanggungjawab ke atas penurunan dolar, China mungkin terpaksa menjadi peneraju dalam pemisahannya dari inflasi dolar dan masalah yang dibawanya.Jikalau Beijing mengambil langkah pertama untuk menyandarkan matawangnya kepada dolar pada taraf yang sesuai dan neutral, Jepun mungkin akan turut serta berpisah dari dolar yang lemah dan menggunakan yuan China sebagai rujukan. Seluruh Asia akan menurutinya, termasuklah Mahathir di Malaysia.

Blok ekonomi dinar

KONVENSYEN ANTARABANGSA MENGENAI DINAR EMAS (ANJURAN DEWAN PERDAGANGAN ISLAM MALAYSIA)
Oleh Khalid Noorshah (Wartawan Utusan)
1 Julai 2003

KEPERCAYAAN terhadap dinar emas Islam (IGD) kian hari kian menebal apatah lagi ia menjadi antara cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menyelamatkan ekonomi dan mengekalkan kedaulatan negara daripada manipulasi dan spekulasi penyangak mata wang.

Selain itu, Dr. Mahathir turut melihat IGD sebagai mata wang pilihan yang bijak untuk menandingi dolar Amerika Syarikat (AS) di samping dapat menyatupadukan umat Islam sekiranya negara-negara Islam bersetuju menggunakan dinar emas sebagai mata wang dalam perdagangan sesama mereka.

Keyakinan bahawa dinar emas akan berjaya dan mendapat sokongan adalah berasaskan kepada sifat mata wang kertas itu sendiri. Perdana Menteri telah berulang kali menegaskan bahawa wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik.

Nilai intrinsik bermaksud ia dengan sendirinya berharga sedangkan wang kertas pula ialah mata wang fiat iaitu sejenis wang di mana undang-undang negara menentukan ia bernilai atau tidak dan harganya pula kini ditentukan oleh spekulasi dan manipulasi pasaran mata wang antarabangsa yang didominasikan oleh dolar AS.

Pergantungan kepada dolar AS menyebabkan mata wang kertas negara-negara di dunia berada di bawah pengaruh dan penguasaan dolar AS. Pendek kata, nilai mata wang kertas negara bangsa termasuk Malaysia bukan sahaja tidak akan melebihi malah tidak akan dapat menjadi setara dengan nilai dolar AS pada bila-bila masa pun.

Keadaan ini membawa maksud bahawa nilai mata wang yang merupakan perwakilan kekayaan sesebuah negara itu akan sentiasa kecil berbanding kekayaan AS dan ini membawa pengertian bahawa kekayaan sesebuah negara itu yang kini turut mewakili kedaulatannya, akan terdedah dan ditentukan oleh naik turun dolar AS.

Walaupun begitu, sehingga kini, di antara negara-negara Islam, hanya Republik Islam Iran sahaja yang telah menyatakan secara terbuka minat yang mendalam dan kesanggupan untuk menggunakan IGD sebagai mata wang dalam perdagangan dua hala, malah Iran turut mencadangkan penubuhan sebuah sekretariat bagi menzahirkan penggunaan dinar emas.
Memahami cabaran yang mendatang, apatah lagi persidangan kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) tinggal beberapa bulan sahaja lagi, amat kena pada waktunya Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Kuala Lumpur menganjurkan Konvensyen Antarabangsa Dinar Emas Sebagai Satu Mata Wang Alternatif Antarabangsa hari ini (1 Julai 2003) di Pusat Dagangan Dunia Putra dan dirasmikan oleh Dr. Mahathir sendiri.

Empat penceramah iaitu Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Latifah Merican Cheong akan membincangkan Dinar Emas Sebagai Mata Wang Alternatif Antarabangsa; Pengarah Kanan Institutional and Private Banking Swiss Asia Capital (S) Pte. Ltd, Ralston C. Theideman membincangkan Kesan Dinar Emas Terhadap Pasaran Antarabangsa; pengasas Majalah Sinar, Pengiran Ir. Umar Azmon Amir Hassan membincangkan Dinamika Dinar Emas dan Penggunaannya Semula Yang Tidak Dapat Dielakkan; dan Pengarah Dinar & Dirham International, Pengiran Abdalhamid David Evans pula akan membincangkan Dinar Emas Wadah Bagi Perpaduan.

Menarik mengenai konvensyen ini berbanding dengan lain-lain seminar mengenai dinar emas ialah ucapan perasmian Dr. Mahathir akan disiarkan secara lintas langsung oleh RTM1. Tentunya, kita menjangkakan sesuatu telah diputuskan oleh kerajaan dalam mempromosi penggunaan dinar emas ini.

Para peserta konvensyen pula terdiri daripada kedutaan-kedutaan negara-negara Islam, institusi perbankan Islam, pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat secara langsung dalam ekonomi dan mata wang antarabangsa, tokoh-tokoh cendekiawan ekonomi, ketua-ketua pertubuhan perniagaan, pegawai-pegawai dari institusi pendidikan awam, dan ahli DPIM sendiri.

Konvensyen itu bertujuan membuka mata masyarakat Malaysia dan luar negara berkenaan peranan Islam sebagai penjana ekonomi serta prospek dinar emas untuk mendapat tempat dalam arena mata wang antarabangsa. Perbincangan itu juga diharap dapat memberi peluang kepada peniaga-peniaga Islam untuk menonjolkan identiti mereka di pasaran global.

Melihat kepada persiapan dan penekanan yang diberikan pada konvensyen kali ini, adalah jelas dan nyata bahawa Malaysia sememangnya mahu menerajui penggunaan semula dinar emas sebagai satu lagi mata wang pilihan bagi perdagangan antarabangsa.

Menjadi harapan kita bahawa dengan penyertaan yang begitu ramai dari negara luar, hasrat Perdana Menteri supaya satu blok ekonomi Islam menggunakan dinar emas akan tercapai.
Selain Iran dan Emiriah Arab Bersatu, belum ada lagi kerajaan negara Asia Barat yang menyahut atau merakamkan sokongan mereka secara terbuka kepada cadangan Malaysia untuk mewujudkan blok ekonomi Islam dengan menggunakan dinar emas.

Walaupun begitu, Mufti Mesir dalam satu kenyataan akhbar pada tahun 2001 telah menyambut baik penggunaan dinar emas yang dicadangkan oleh Malaysia atas asas bahawa ia akan tentunya memperkukuhkan semula kekuatan kewangan dan ekonomi negara-negara Islam.
Apa yang perlu dilakukan ialah sokongan daripada negara-negara Islam lain ketika sentimen negara-negara Asia Barat kini mengalih pandangan mereka untuk meningkatkan pelaburan di negara ini.

Penyertaan Arab Saudi juga dilihat sebagai penting kerana penggunaan dinar emas dapat dilaksanakan dengan serta-merta terutamanya oleh Tabung Haji dan Sistem Penerbangan Malaysia dan juga oleh para jemaah haji dari Malaysia dan juga Indonesia di mana pergerakan mempromosi dinar emas turut menjadi rancak di sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Mungkin di sini juga terletak peranan DPIM untuk membantu mendapatkan sokongan ahli-ahli perniagaan tempatan, negara jiran dan dari negara-negara Islam di Asia Barat untuk menerima dinar emas sebagai mata wang antarabangsa.

Sebagai badan yang mewakili ahli-ahli perniagaan dan institusi perniagaan Islam negara ini, DPIM juga boleh memainkan peranan dalam mempromosi penggunaan dinar emas untuk pembayaran zakat perniagaan, zakat harta dan zakat simpanan selain daripada menggunakan dinar emas sebagai mahar atau mas kahwin. Adalah wajar disedari bahawa penggunaan dinar emas turut mempunyai kesannya dari segi tuntutan agama. Amalan membayar zakat menggunakan dinar emas mahupun dalam pemberian mahar bukanlah satu amalan yang asing bagi orang Islam dan juga pernah diamalkan oleh orang Melayu sebelum ini.

Dengan memahami bahawa penggunaan dinar emas sebagai mata wang turut mempunyai halangan-halangannya dalam sistem perbankan tetapi kita yakin halangan-halangan itu boleh diatasi melalui iltizam dan kebolehan kita untuk mengembalikan sesuatu yang akan menjamin kemerdekaan dan kedaulatan negara ini. Di samping itu, penggunaan semula dinar emas akan turut membuka ruang-ruang baru dalam sistem perdagangan yang sedia ada kerana disebabkan sifatnya yang intrinsik, ia akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang benar dalam berjual beli barangan dan akan mengecilkan pertumbuhan ekonomi spekulatif yang kini menjadi teras kepada ekonomi kapitalisme Barat.

Seperkara lain yang harus juga direnungkan bersama ialah dalam hasrat ingin memisahkan diri daripada dibelenggu dolar AS. Harga emas pada masa ini amat dipengaruhi oleh naik turun dolar AS maka satu mekanisme lain perlu diwujudkan bagi mengelakkan perangkap ini daripada berterusan. Selain itu, penggunaan dinar emas akan turut menuntut kaedah-kaedah pelaburan baru yang mematuhi kehendak-kehendak syariah yang boleh diterima oleh orang Islam dan bukan Islam kerana penggunaan semula dinar emas juga amat berkait rapat dengan keadilan sosial dalam memulangkan kembali kekayaan kepada orang ramai.

Ini adalah antara cabaran yang menunggu untuk ditangani apabila dinar emas kembali menjadi salah satu mata wang antarabangsa dan tentunya, bagi menjayakannya, penilaian semula terhadap prinsip perdagangan dan etika kewangan yang sedia ada, mahu tidak mahu, akan terpaksa dihadapi.

Dinar emas senjata paling berkesan perangi sistem kapitalisme

Oleh Prof Madya Dr Zuhaimy Ismail (Utusan Malaysia)

IBNU Khaldun pernah menyatakan zaman kegemilangan akan diikuti zaman kemunduran dan untuk mengetahui zaman mana kita berada, pergilah ke pasar.

Jika pasar itu terbuka kepada semua orang, ia berada pada zaman kegemilangan dan jika pasar itu dimiliki beberapa keluarga atau dimonopoli oleh kumpulan tertentu, ia adalah zaman kemunduran.

Sistem kapitalis pada zaman ini mengamalkan sistem monopoli dan sering kita dapati perniagaan dikuasai syarikat rantaian. Apabila buka saja sebuah pasar raya besar di kawasan perumahan, kita dapati kedai runcit atau pengusaha bermodal kecil secara beransur-ansur akan tutup kedai.Malah sekarang ini kita dapati banyak kedai di kawasan perumahan tidak dihuni atau tidak digunakan untuk perniagaan, kesan pembukaan pasar raya besar.

Apakah kita boleh kategorikan zaman ini sebagai zaman kegemilangan? Umat Islam kini mesti memastikan perkara begini tidak berterusan dan pemerintah pula tidak cuma menerima dan mengikut arus perkembangan sistem kapitalis semata-mata.

Tidak keterlaluan jika kita katakan dunia Islam kini mengikut atau meniru dunia kufar, tidak terkecuali negara yang sepatutnya melindungi Islam. Umat Islam diajak serta dididik secara sistematik untuk melupakan keistimewaan yang ada pada mereka dan memandang tinggi akan apa yang ada pada kufar.

Kufar melakukan ini bukan saja melalui peperangan tetapi juga melalui penguasaan ekonomi dan tipu helah politik. Pelbagai peristiwa menunjukkan kepada kita bagaimana sistem kufar beroperasi bagi menguasai umat Islam.

Perhatikan apa yang berlaku kepada umat Islam di Chechnya? Umat Islam di Chechnya berjaya mengalahkan Russia dalam pertempuran yang mempunyai kekuatan ketenteraan tetapi umat Islam kalah di meja perundingan, pejuang Mujahidin Afghanistan menang di medan pertempuran, tetapi kalah di meja perundingan, begitu juga dengan Bosnia, Mesir dan banyak lagi contoh lain.

Inilah kekuatan dan kelemahan umat Islam yang dirasakan perlu kita tahu dan memperkuatkan mana yang lemah dan mempertahankan mana kekuatan yang kita ada disamping mengenali musuh kita.

Musuh umat Islam pada zaman ini adalah kapitalisme. Melalui pendidikan dengan pendekatan pengislaman ilmu, umat Islam dididik supaya sistem perbankan Barat diperkenalkan dan diterima.

Usaha ini bukan berlaku beberapa tahun kebelakangan ini malah telah lama diusahakan bagi merosak dan menguasai agama kita. Harus diingatkan bank Islam pertama di dunia bukan ditubuhkan oleh negara Islam tetapi sebaliknya ditubuhkan oleh ahli keluarga perbankan kufar di Luxemburg, dengan bantuan munafikun di kalangan umat Islam sendiri.

Penubuhan ini bertujuan untuk menarik wang keluar dari negara Arab dan disimpan di dalam bank Islam di Eropah. Umat Islam tidak mengambil keuntungan daripada faedah simpanan, maka bank Islam ini membuat keuntungan berlipat kali ganda.

Kapitalis menggunakan Islam untuk mengaut keuntungan tanpa mengira apa yang diharamkan atau dihalalkan oleh Islam. Riba, sesuatu yang diharamkan tetapi dihalalkan orang kufar. Malah kegiatan menghalalkan riba ini di kalangan orang Islam dimulakan oleh Muhammad Abdu dilantik Lord Cramer sebagai Syeikhul Universiti Al-Azhar dan telah mengeluarkan fatwa bahawa umat Islam dibolehkan mengambil faedah daripada tabung simpanan (Al-Manar).

Ia disifatkan sebagai fatwa yang merosakkan agama dan amalan umat Islam. Fatwa ini membuka jalan kepada pembentukan bank dalam Islam dan seterusnya membolehkan wang kertas digunakan.Selepas itu ilmu ekonomi Barat boleh dimasukkan ke dalam pengajian Islam. Malah inilah tugas utama Abdu selepas dilantik rektor universiti terkenal itu. Sebab itulah kita katakan bahawa ilmu ekonomi adalah alat untuk mengalih pandangan umat Islam daripada masalah riba.

Ilmu ekonomi Islam pula terselindung di sebaliknya untuk membolehkan riba itu diterima oleh umat Islam. Inilah diajar kepada umat Islam selepas mereka menawan negara Islam seolah-olah umat Islam sebelum ini tidak pernah berdagang, tidak pernah memiliki harta, atau tidak pernah membuat transaksi yang besar.Melalui proses pengislaman ilmu yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu, kita dapati kufar berjaya menggunakan umat Islam sendiri untuk mengislamkan ekonomi dan dinamakan ‘ekonomi Islam’. Ini juga satu bidang ilmu.

Ini perkara baru direka khas bagi menguasai kekayaan umat Islam. Mereka mula memperkenalkan sistem kewangan Islam tanpa melihat akan wang itu sendiri, memperkenalkan takrifan baru bagi riba sebagai faedah, keuntungan, dividen yang diharamkan, bank adalah nadi pelaksanaan ekonomi kufar, oleh itu untuk memenuhi sistem ekonomi Islam, bank Islam dibentuk, seterusnya lahirlah apa yang dinamakan akaun Islam, opsyen Islam, bon Islam, bursa saham Islam, pelaburan Islam, insurans Islam dan banyak lagi label Islam.

Kini lahir pula kad kredit Islam. Jika kita selak di sebalik label Islam ini, ia tetap kufar, ia adalah sistem kapitalis yang di-Islamkan.Malah kini ada sesetengah negara mengeluarkan bir Islam, iaitu sejenis bir yang cuma ada 5 peratus alkohol di dalamnya dengan justifikasi bahawa tapai ubi mengandungi lebih banyak alkohol, tetapi dibolehkan.Tujuan perkara ini dibangkitkan adalah kerana kita dapati kufar sudah begitu berani menggunakan label Islam hanya kerana begitu ramai umat Islam yang inginkan sistem Islam, tetapi tidak tahu apa itu yang dibolehkan oleh Islam.Ke mana hala tuju kita umat Islam pada zaman moden ini.

Apakah kita mahu terus menjejaki kufar dan mengislamkan sistem kapitalis dan berpuas hati dengannya?Institusi perbankan gergasi dunia kini menggunakan cendekiawan Islam dari institusi pengajian tinggi untuk menulis dan dengan bersahaja menyatakan bahawa sistem insurans yang diamalkan sekarang ini adalah tradisi peninggalan Rasulullah saw.Bukankah ini satu penyelewengan yang boleh memudaratkan agama suci kita? Sedangkan Rasulullah tidak membenarkan seseorang itu memajak pokok yang sedang berbunga, tunggu sehingga pokok itu berbuah dan hampir masak baru boleh dipajakkan.

Rasulullah melarang sesuatu transaksi yang tidak pasti.Kita tidak boleh ‘mengislamkan riba’ begitulah juga kita tidak boleh mengislamkan whiski (arak).Apa yang berlaku sekarang adalah kad kredit yang dinamakan kad kredit Islam sedangkan ia adalah sama dengan sistem yang diamalkan oleh sistem kad kredit perbankan Barat. Umat Islam tetap akan menang dalam peperangan tetapi peperangan kapitalisme ini memerlukan persenjataan yang berlainan. Untuk menang mengatasi sistem kapitalisme ini umat Islam mesti mengangkat senjata dinar emas.Jika wang kertas alat ekonomi kufar, umat Islam akan menggunakan wang dinar emas untuk berdagang.

Sistem kewangan kufar akan hancur jika ramai yang tidak menggunakannya. Kajian yang tertulis dalam internet ada menyatakan jika hanya tujuh peratus (tujuh peratus) penyimpan wang di mana-mana bank di dunia ini mengeluarkan simpanannya serentak, maka hancurlah sistem perbankan Barat.Inilah kekuatan yang ada pada sistem perbankan kapitalisme di seluruh dunia. Bank memberi pinjaman 20 kali ganda daripada jumlah wang yang ada padanya dan mengenakan faedah kepada si peminjam. Jadi bank menjana wang daripada sesuatu yang tidak ada.Sistem kapitalisme adalah sistem kufar dan kekuatan sistem ini dianologikan Allah sebagai kuatnya sarang labah-labah. Sarang labah-labah nampak besar dan menggerunkan malah boleh menutup pintu gua, tetapi sebenarnya ia begitu rapuh sekali.

Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Matematik, Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.